Tuesday, September 17, 2019

PENULISAN REFLEKSI GKK 1043



Sebagaimana diketahui umum kesihatan dan kecergasan amat penting bagi setiap individu. Kesihatan bukan sahaja  merangkumi kesihatan fizikal sahaja akan tetapi kesihatan mental, rohani dan sosial juga. Sepanjang 3 bulan saya berada di IPG, saya telah belajar pelbagai perkara tentang kesihatan dan kecergasan diri. Sebelum ini, saya tidak mengetahui secara menyeluruh tentang kesihatan dan kecergasan diri. Selain itu, sebelum memasuki IPG saya jarang melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan kecergasan diri.
            Setelah berada di IPG, saya mula sedar akan kepentingan kesihatan dan kecergasan diri. Saya telah diajar untuk melakukan aktiviti yang mampu meningkatkan kecergasan saya seperti berlari, mendaki bukit dan sebagainya. Tambahan pula, IPG telah mewajibkan setiap pelajar PPISMP mengambil kursus GKK 1043. Para pelajar juga diwajibkan menjalani ujian Pra dan Post yang merangkumi ujian SEGAK dan bleep test. Antara perkara yang diuji di dalam ujian SEGAK adalah indeks jisim badan (BMI), tekan tubi, ringkuk tubi separa, naik turun bangku dan jangkauan melunjur.
Dalam ujian pra yang telah dilakukan, saya mendapati julat BMI saya adalah sebanyak 20.4 dan pada ujian post julat BMI saya adalah sebanyak 20.05. Julat BMI tersebut tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara dan saya masih lagi berada pada komposisi badan yang normal.Selain itu, saya mendapati daya tahan otot saya bertambah baik berbanding sebelum ini. Sebagai contoh, pada ujian pra  saya hanya mampu melakukan tekan tubi sebanyak 14 kali sahaja.  Namun, pada ujian post saya berjaya menambah bilangan tekan tubi itu sebanyak 23 kali. Sebelum melakukan ujian post, saya telah berlatih melakukan tekan tubi untuk meningkatkan bilangan tekan tubi sebelum ini.      
Seterusnya, ujian turun naik bangku yang bertujuan untuk mengukur daya tahan kardiovaskular. Pada ujian pra, kadar denyutan nadi saya diambil dalam jangka masa 1 minit adalah sebanyak 116. Bilangan tersebut menunjukkan saya mempunyai daya tahan kardiovaskular yang agak lemah. Namun, pada ujian post bilangan kadar denyutan nadi saya sebanyak 100. Bilangan tersebut menunjukkan penurunan akan tetapi saya masih berada pada tahap yang sama.
Di samping itu, ujian ringkuk separa pula saya mendapat jumlah bilangan yang sama iaitu sebanyak 20 pada ujian pra dan post.  Ujian ringkuk separa ini dilakukan untuk mengukur daya tahan dan kekuatan otot abdomen. Seterusnya, ujian jangkauan melunjur yang bertujuan untuk menilai fleksibiliti bahagian bawah belakang badan dan juga otot hamstring. Untuk ujian jangkauan melunjur skor saya bertambah iaitu dari 25 semasa ujian pra dan kepada 29 semasa ujian post.
Akhir sekali, ujian Bleep Test yang menguji stamina dan kemampuan kardiovaskular.  Saya hanya mampu mencapai tahap 2.7 pada ujian pra dan 3.1 pada ujian post. Berdasarkan tahap tersebut, saya masih lagi berada pada tahap yang sama walaupun mempunyai peningkatan sedikit. Kesimpulannya, melalui kursus GKK 1043 dan ujian yang telah dilakukan saya dapat menilai sejauh mana kecergasan diri saya dan saya berharap untuk memperbaiki kecergasan diri saya.